Apa itu lemak ?
Lemak adalah sumber tenaga kalori yang padat.Pengambilan lemak yang berlebihan dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap penyakit jantung dan juga kesan kegemukan. Lemak terbahagi kepada tiga jenis iaitu lemak tepu, politaktepu atau monotaktepu. Badan kita boleh mengeluarkan kedua-dua lemak monotaktepu dan lemak tepu. Lemak politaktepu, atau asid lemak yang penting, tidak boleh dibuat di dalam badan dan mesti diambil daripada diet kita.
Lemak tepu bersifat membeku dan keras pada suhu rendah. Kebiasaanya lemak tepu didapati daripada sumber haiwan dan tumbuhan seperti santan dan lemak sayuran. Lemak tidak tepu pula bersifat lembut dan berada dalam keadaan cecair walaupun pada suhu rendah. Ia didapati daripada sumber tumbuhan.
Lemak sangat diperlukan untuk kesihatan yang baik. Lemak membantu dalam pengeluaran tenaga, pembinaan sel, pengangkutan oksigen, pembekuan darah, dan penghasilan bahan ala-hormon yang sangat aktif yang dipanggil prostaglandin. Lemak kebanyakannya disimpan dalam sel adipos (lemak) badan tetapi ia juga didapati di dalam plasma darah dan sel-sel badan yang lain. Selain itu, lemak juga dapat menjadi penebat kepada badan dan boleh ditukar kepada tenaga. Lemak digunakan untuk membina sel baru dan ia kritikal dalam pembentukan otak yang normal dan fungsi saraf. Lemak juga diperlukan untuk membawa dan menyerap vitamin yang larut lemak, seperti vitamin A, D, E dan K dan karotenoid.
Lemak adalah dua kali ganda tumpat-kalori (1 gram = 9 kalori) daripada karbohidrat atau protein (1 gram = 4 kalori). Walaupun terdapat kebaikan kesihatan yang dikaitkan dengan minyak zaitun dan kanola, namun kadar kalori mereka masih tinggi (1 sudu besar = 120 kalori). Tambahan pula, kebanyakan makanan proses dan makanan segera mempunyai kadar lemak yang tinggi, terutamanya lemak tepu. Kebiasaanya lemak monotaktepu boleh didapati dalam minyak zaitun dan kanola. Manakala lemak tepu pula banyak terdapat dalam produk haiwan seperti mentega, keju, susu sempurna, ais krim, krim dan daging berlemak dan juga sesetengah minyak sayur, kelapa, kelapa sawit dan minyak biji kelapa sawit. Lemak politaktepu pula dijumpai dalam minyak bunga kesumba, bunga matahari, jagung dan kacang soya.
LEMAK TEPU
Lemak tepu adalah lemak yang terdiri daripada trigliserida yang hanya mengandungi asid lemak tepu radikal. Terdapat beberapa jenis asid lemak tepu, yang berbeza dengan jumlah atom karbon, bermula daripada 3 karbon (asid propionat) untuk 36 (Hexatriacontanoic asid). Asid lemak tepu tidak punya ikatan berkembar antara atom karbon daripada rantaian asid lemak. Oleh sebab itu, lemak ini sepenuhnya tepu dengan atom hidrogen.
Contoh makanan yang mengandungi kadar lemak tepu yang tinggi termasuklah produk susu terutamanya krim dan keju, lemak haiwan seperti lemak babi dan lemak daging, minyak kelapa, minyak biji kapas, minyak inti sawit, coklat, dan beberapa makanan siap.
Lemak biasanya dikumpulkan dalam badan dan digunakan sebagai sumber tenaga simpanan. Lapisan lemak di bawah kulit berfungsi untuk melindungi kita daripada kesejukan. Lemak juga dapat melindung organ-organ dalam badan kita. Selain itu, lemak membekalkan vitamin seperti vitamin A, D, E, dan K yang larut dalam lemak. Walau bagaimanapun, ahli sains mendapati jika seseorang memakan makanan yang mengandungi terlalu banyak lemak tepu, kesihatannya mungkin terjejas.
Walaubagaimanapun, pengambilan lemak tepu secara berlebihan akan membawa kesan buruk terhadap tahap kesihatan kita. Sebagaimana yang kita tahu, penyakit jantung dan kanser merupakan penyakit pembunuh utama di dunia. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh ahli sains, penyakit jantung adalah disebabkab kehadiran kolesterol dalam darah.
Kolesterol yang termendak dalam dinding arteri boleh menyekat pengaliran darah. Ini menyebabkan tekanan darah bertambah tinggi. Tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan penyakit jantung dan strok. Lemak tepu dapat menambahkan aras kolesterol dalam darah. Oleh itu, pengambilan makanan yang mengandungi lemak tak tepu lebih digalakkan.
LEMAK TRANS
Lemak trans pada asasnya adalah lemak sayur poli tak tepu yang telah diubah secara kimia melalui proses yang dikenali sebagai penghidrogenan. Ini adalah merupakan proses bahan kimia kasar yang menukarkan minyak sayur menjadi lemak pepejal atau separa pepejal (iaitu lemak yang lebih keras) pada suhu bilik, yang membolehkan minyak itu tetap segar bagi tempoh masa yang dilanjutkan.
Lemak berhidrogen kurang berkemungkinan untuk rosak. Oleh itu, produk yang diperbuat daripada lemak ini tahan lebih lama berbanding jika diperbuat daripada minyak cecair, ciri-ciri ini mempunyai kebaikan dalam pengeluaran makanan yang diproses.Lemak trans juga lebih digemari kerana apabila digunakan dalam makanan seperti biskut, ia menjadikan produk makanan segar lebih lama. Namun begitu, bagi pengguna lemak sintetik atau palsu ini mempunyai keburukan dari segi pemakanan.
Sumber : Diperoleh daripada kerja kursus pelajar UPSI, kursus Pendidikan Kemahiran Hidup
credit : ilanmie
0 comments:
Post a Comment